Sunday 21 October 2012

Santai di Pantai Klebang, Melaka

Dah lama tak bawak anak isteri keluar macam sebelum ni. Maklumlah setiap hujung minggu sibuk dengan program masyarakat. Oppss! Yang itu tak perlu mengeluh. InsyaAllah hisab neracaNya yang akan menentukan. Jadi dikesempatan yang berkebetulan petak kalendar untuk sabtu itu kosong, aku terus memekik pada Kakak Firah dan Adik Zariff untuk mandi, bersiap - kita pegi jumpe PokYah! Jom...
Mak dan Kakak dimamah D90 di Surau ADTEC
 Walaupun sampai agak lewat, ditambah hujan renyai tak putus dari Kajang sampai ke Taboh Naning, tetap tidak mematahkan semangat Adik Zariff untuk bergumbira. Sampai di tempat Alias sudah menjangkau waktu Zuhur, lantas solat dulu sambil Sang Isteri siapkan apa yang patut untuk kedua Puteri -Puteranya. Sempat lagi  memberikan pose yang sememangnya agak jarang dirakam emosi mereka bertiga dalam satu rasa. 

Adik Zariff sudah tidak sabar untuk meneruskan perjalanan
Cabaran yang paling ketara untuk grup photo bersama Adik Zariff - dokleh duk ddiang weh!
 Pada awal lagi sebenarnya kami tiada hala tuju. :-) Cadangnya hanya sekadar ronda-ronda Bandar Melaka. Tambah pulak hujan masih renyai. Perut dah lapar, layan asam pedas dulu. Malas nak tunjuk gambar makan - sebab makanannya amatlah hampeh! :( Maaflah yer akak asam pedas yang kureng asam tu...
Selesai makan, hujan sudah reda, terus menekan minyak menghalakan arah tayar kereta ke Pantai Klebang - nampak macam happening... Dari jauh Kakak Firah dah mintak dibelikan layang-layang. Oklah, kita pakat layan layang-layang dululah... Jom..

Dah lama tak main layang-layang, abah tak reti, kita serah pada PokYah la yer Kak
Sambil menanti Alias menyediakan layang-layang, Emak melayan Adik Zariff yang dah mula excited main pasir. Hahaha... adik ni campak kat mana pun dia tak kisah.. Haaa.. layang-layang dah siap, tapi bukan Kakak Firah yang main - Emaknya pulak yang over!!! 
Mari kita cuba, boleh terbang ke tak ni?
Hai.. over pulak yer? Layan jer la Yang..

Layan Adik Zariff main pasir - Emak macam boring je Dik..
 Rasanya inilah kali pertama Adik Zariff dapat main pasir pantai. Jadi itulah sebabnya lensa lebih banyak terarah pada Adik Zariff. Merakam pelbagai aksi dan karenahnya memang berbaloi. Sampaikan Abah terlupa pada Kakak Firah! Sori yer Kak...
Memula macam segan-segan jer.. pastu..

Tabur lagi Dik, tabur...

Kakak berlagak nak tunjuk skill buat "istanaaa" tapi tak jadi..hahaha..

Entah mana Adik Zariff dapat penutup botol tu - buat cupcake!
 Agak lama jugak melepak kat pantai ni. Sampai la acara kemuncaknya - gali lubang! Idea Abah tapi yang buatnya PokYah. Haaa.. gali PokYah, gali lagi.. Adik Zariff pun cuba-cuba nak korek jugak. Walaupun dia sebenarnya tak tahu apa tujuan lubang tu... hahaa.. mari kita tengok sapa yang kena!!!
Korek la Dik.. macam PokYah buat ni haaa...
 Akhirnya, misi ditamatkan. Adik dapat "ditanam" dengan jayanya! Dengan muka selamba macam tak ada perasaan, maka inilah hasil snap paling menarik dan paling bersejarah hari ini! Sayang Adik Zariff, Sayang Kakak Firah, Sayang Emak, Sayang Semua!!!!!
Oh tidak! Adik dokleh gerok doh ning!!!
Selesai misi bawak derang berjalan... Harap dapatlar menggembirakan kalian. InsyaAllah dalam masa terdekat Abah akan tunaikan HASRAT besar Kakak Firah dan Emak tu... Sebelum Maghrib terus bergerak hantar PokYah ke ADTEC kemudian meluncur ke Kajang - malam kang game Man U abah!!!

Monday 10 September 2012

Jom bermula semula segala apa yang telah bermula!


Dah lama tak dapat edit atau posting gambar-gambar baru dalam blog ni. Padatnya masa dan kekangan kewangan membaiki laptop kesayangan yang rosak menjadi punca utama. Sekarang, alhamdulillah... Setelah bertungkus lumus menolak halangan yang mendatang, dapatlah aku menjenguk blog ni. 
Perkara pertama yang datang, eh.. aku nak post apa yer? Kalau nak ikutkan koleksi yang ada, memang tak terdaya untuk dikongsi di lantai maya ini... 
Dulu ketika cuma bertiga diselit Zara Zafirah, sempat juga melepaskan "gian". Sekarang agak terbatas..
Bila memikirkan tentang apa yang ingin dikongsi, lantas mereka datang mengintai - dua penyeri hidup kami - Zara Zafirah dan Ahmad Zariff. Ermm.. cukuplah sekadar mereka yang menjadi subjek "pembuka" tirai baru kali ini.
Si Cilik Zariff - penuh dengan seribu helah, bersamanya pasti lelah tapi kami tidak akan mengalah, kamu memang anak abah!
Memetik pepatah Inggeris - "Children are the living messages we send to a time we will not see." Jadi dalam apa cara dan keadaan sekalipun, mereka tetap di hati kami...
Penghibur hati Abah dan Emak...


Saturday 14 April 2012

Ahmad Zariff bin Zukri bin Ahmad

Ahmad Zariff bin Zukri - Semakin hari semakin bijak mengenal duniawi.





Friday 24 February 2012

Muhasabah dalam gelisah...

Salam siber... Sudah agak lama alas tinta maya ini tidak dijenguk. Bukan tidak sudi, tapi batas masa dan rasa agak tidak membantu. Beban kerja, amal juang Islami, serta tangis manja si kecil tagih belai sang abah sudah cukup untuk membataskan jemari menulis kisah lensadiri di sini. 
Padat. Seawal tahun dengan SOP Access Card untuk blok makmal baru, kursus pengendalian GCMS di Agilent kemudian terus dengan Tim Kajian Celoreng jajah ke serata latar hijau - Asahan, Kuala Linggi, Royal Belum dan terkini Fraser Hill. Sesambil kerja, banyak yang ditembak, tidak kurang juga yang mengena. Tapi semua itu untuk koleksi - masih utuh di portable hard disk aku. Entah bila hendak dikongsi. Mungkin sebentar lagi, atau mungkin berubah hati, langsung dilain hari... Dalam pada itu, gambar progress pembangunan blok makmal baru perlu juga diambil kira. Mungkin pada jemari tidak banyak tapi hakikatnya sukar bagi aku yang masih bertatih mengurus masa. Belum ditambah lagi kerja amal juang Islami di luar sana - yang wajib diteruskan walau apapun alasan. Sisi sana untuk bekalan akhirat. Mudah-mudahan dikurniakan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus berjuang.
Hari ini, yang ingin dikongsi bukan itu sebenarnya. Yang paling menyentap rasa adalah beberapa peristiwa yang dialami sejak 2-3 minggu kebelakangan ini. ASUS i7 sudah meragam, 3-4 kali diformat masih lagi tidak menunjukkan tanda "kebah" dari penyakit peliknya itu. Lalu, bagaimana hendak diuruskan bingkai-bingkai gambar yang ditembak? Sabar... tapi mampukah untuk aku bertahan tanpa menatap, touch up dan make up hasil lensadiri yang terkini. Harapnya ada ruang untuk diubati. Dan 9886 juga harus diambil kira dengan "luka" akibat torehan jahat pada badan kilatnya itu - yang secara langsung menambah "beban gila" pada diri. Jenuh mencari sticker untuk ditampal kononnya membalut luka panjang itu. Ish! Langsung tidak berhasil. Tampak janggal bilamana dibubuh tampalan asing itu. Apalah nasib... 
Dan yang paling aku terbeban, sedih, sentap adalah dengan "kemalangan" yang berlaku pada D90 aku. Jatuh! Jatuh tanpa sengaja. Bukan salah Zafirah, bukan, bukan... Aku harus salahkan diri sendiri kerana mengambil mudah - melabuhkannya lalai tanpa mengambil kira jangkauan tangan kecil Zafirah. Dicapainya lalu tersungkur! Jawabnya - Pop up Flash buta , hot shoes pekak dan delete button bisu. Dengan kad jaminan yang berbaki, maka di-admit-lah sang D90 kesayangan itu untuk beberapa minggu. Gumam kaku, kelu sendu bila "teman" rapat selama ini tiada disisi. Momen menarik berlalu sinis tanpa tembakan. Arghhh!
Menambahkan lagi lara hati, alangkah terkilannya diri bilamana sambutan ulangtahun ketiga puteri kesayangan Zara Zafirah Zukri basi, lemau tanpa tembakan kenangan! Yang fahamnya sebelum ini tidak pernah gagal untuk merakamkan setiap detik penting bersamanya. Maafkan abah kakak... Jangan tidak percaya, momen bersejarah kakak pada hari dan ketika itu tetap abah rakamkan dalam sel-sel memori anugerah Allah dalam diri abah. 
Sekadar menyebut beberapa peristiwa. Bukan malas atau lokek tapi rasanya itu sudah cukup untuk mengambarkan kekalutan dalam tempoh "bisu" ini. Itu belum dihitung hasil usaha gigih Syaitan Laknatullah yang membuahkan beberapa insiden mainan emosi lagi. Sakit... 
Ok. Sudah. Cukup. Usah mengeluh lagi. Itulah ujian dari Allah. Mungkin ujian ini ada hikmahnya untuk aku bermuhasabah. Meniliki hakikat rasa berTuhan. Mungkin terlalu banyak dosa aku padaNya dan makhlukNya lantaran itu didatangkan musibah untuk aku sedar yang aku ini berTuan. Dia Maha Penyayang. 
"Ya Allah, dunia yang Engkau hamparkan ini indah, tetapi  durinya sering menusuk. Nikmat yang Engkau berikan takkan dapat untuk ku menghitungnya. Tetapi ya Allah, hambaMu ini sering alpa dan lena dek buaian mimpi yang tak sudah. Ya Allah, ujian yang Engkau berikan terasa begitu memeritkan, kadangkala ianya menguji kesabaran dan keimananku yang terkadang nipis, senipis kulit bawang. Ya Allah, jika ini ujian yang harus untuk ku lalui, bantulah aku. Agar aku tidak tersasar dari jalanMu. Agar aku bersyukur dengan ujianMu ini ya Allah" 
InsyaAllah, aku akan menjadi lebih tabah dan bersedia untuk menghadapi setiap ujian dan halangan pada masa mendatang dengan harapan ianya akan menjadikan aku lebih baik dari hari ini dan hari-hari sebelumnya. 
Letih (tapi lega) dengan luahan rasa ini, jadi aku mengambil keputusan untuk tidak menampal bingkai lensadiri buat masa ini. Hasil tembakan dari lensadiri InsyaAllah akan dikongsikan dalam masa terdekat...
Salam lensa...

Monday 16 January 2012

InsyaAllah, akan kembali menjenguk maya...

Salam,
Bukan tidak sudi atau berhenti, apakan daya tiada kesempatan menerjah emosi melalui gambar terkini. InsyaAllah, kekuatan itu kembali bertaut untuk mengetengahkan warna-warna yang semakin hidup akhir-akhir ini. Tunggu....


Street Photography mungkin menjadi slot terkini untuk tatapan bersama...