Friday 24 February 2012

Muhasabah dalam gelisah...

Salam siber... Sudah agak lama alas tinta maya ini tidak dijenguk. Bukan tidak sudi, tapi batas masa dan rasa agak tidak membantu. Beban kerja, amal juang Islami, serta tangis manja si kecil tagih belai sang abah sudah cukup untuk membataskan jemari menulis kisah lensadiri di sini. 
Padat. Seawal tahun dengan SOP Access Card untuk blok makmal baru, kursus pengendalian GCMS di Agilent kemudian terus dengan Tim Kajian Celoreng jajah ke serata latar hijau - Asahan, Kuala Linggi, Royal Belum dan terkini Fraser Hill. Sesambil kerja, banyak yang ditembak, tidak kurang juga yang mengena. Tapi semua itu untuk koleksi - masih utuh di portable hard disk aku. Entah bila hendak dikongsi. Mungkin sebentar lagi, atau mungkin berubah hati, langsung dilain hari... Dalam pada itu, gambar progress pembangunan blok makmal baru perlu juga diambil kira. Mungkin pada jemari tidak banyak tapi hakikatnya sukar bagi aku yang masih bertatih mengurus masa. Belum ditambah lagi kerja amal juang Islami di luar sana - yang wajib diteruskan walau apapun alasan. Sisi sana untuk bekalan akhirat. Mudah-mudahan dikurniakan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus berjuang.
Hari ini, yang ingin dikongsi bukan itu sebenarnya. Yang paling menyentap rasa adalah beberapa peristiwa yang dialami sejak 2-3 minggu kebelakangan ini. ASUS i7 sudah meragam, 3-4 kali diformat masih lagi tidak menunjukkan tanda "kebah" dari penyakit peliknya itu. Lalu, bagaimana hendak diuruskan bingkai-bingkai gambar yang ditembak? Sabar... tapi mampukah untuk aku bertahan tanpa menatap, touch up dan make up hasil lensadiri yang terkini. Harapnya ada ruang untuk diubati. Dan 9886 juga harus diambil kira dengan "luka" akibat torehan jahat pada badan kilatnya itu - yang secara langsung menambah "beban gila" pada diri. Jenuh mencari sticker untuk ditampal kononnya membalut luka panjang itu. Ish! Langsung tidak berhasil. Tampak janggal bilamana dibubuh tampalan asing itu. Apalah nasib... 
Dan yang paling aku terbeban, sedih, sentap adalah dengan "kemalangan" yang berlaku pada D90 aku. Jatuh! Jatuh tanpa sengaja. Bukan salah Zafirah, bukan, bukan... Aku harus salahkan diri sendiri kerana mengambil mudah - melabuhkannya lalai tanpa mengambil kira jangkauan tangan kecil Zafirah. Dicapainya lalu tersungkur! Jawabnya - Pop up Flash buta , hot shoes pekak dan delete button bisu. Dengan kad jaminan yang berbaki, maka di-admit-lah sang D90 kesayangan itu untuk beberapa minggu. Gumam kaku, kelu sendu bila "teman" rapat selama ini tiada disisi. Momen menarik berlalu sinis tanpa tembakan. Arghhh!
Menambahkan lagi lara hati, alangkah terkilannya diri bilamana sambutan ulangtahun ketiga puteri kesayangan Zara Zafirah Zukri basi, lemau tanpa tembakan kenangan! Yang fahamnya sebelum ini tidak pernah gagal untuk merakamkan setiap detik penting bersamanya. Maafkan abah kakak... Jangan tidak percaya, momen bersejarah kakak pada hari dan ketika itu tetap abah rakamkan dalam sel-sel memori anugerah Allah dalam diri abah. 
Sekadar menyebut beberapa peristiwa. Bukan malas atau lokek tapi rasanya itu sudah cukup untuk mengambarkan kekalutan dalam tempoh "bisu" ini. Itu belum dihitung hasil usaha gigih Syaitan Laknatullah yang membuahkan beberapa insiden mainan emosi lagi. Sakit... 
Ok. Sudah. Cukup. Usah mengeluh lagi. Itulah ujian dari Allah. Mungkin ujian ini ada hikmahnya untuk aku bermuhasabah. Meniliki hakikat rasa berTuhan. Mungkin terlalu banyak dosa aku padaNya dan makhlukNya lantaran itu didatangkan musibah untuk aku sedar yang aku ini berTuan. Dia Maha Penyayang. 
"Ya Allah, dunia yang Engkau hamparkan ini indah, tetapi  durinya sering menusuk. Nikmat yang Engkau berikan takkan dapat untuk ku menghitungnya. Tetapi ya Allah, hambaMu ini sering alpa dan lena dek buaian mimpi yang tak sudah. Ya Allah, ujian yang Engkau berikan terasa begitu memeritkan, kadangkala ianya menguji kesabaran dan keimananku yang terkadang nipis, senipis kulit bawang. Ya Allah, jika ini ujian yang harus untuk ku lalui, bantulah aku. Agar aku tidak tersasar dari jalanMu. Agar aku bersyukur dengan ujianMu ini ya Allah" 
InsyaAllah, aku akan menjadi lebih tabah dan bersedia untuk menghadapi setiap ujian dan halangan pada masa mendatang dengan harapan ianya akan menjadikan aku lebih baik dari hari ini dan hari-hari sebelumnya. 
Letih (tapi lega) dengan luahan rasa ini, jadi aku mengambil keputusan untuk tidak menampal bingkai lensadiri buat masa ini. Hasil tembakan dari lensadiri InsyaAllah akan dikongsikan dalam masa terdekat...
Salam lensa...