Tuesday 25 October 2011

Hukum Bersalam...

HUKUM?
Ramai dikalangan pengaku ustaz apabila "terbersalam" dengan wanita di hadapan khalayak ramai, kemudian ditanya bukankah bersalam dengan mereka itu haram?- cepat-cepat dia akan menjawab.."alaa... boleh dalam mazhab lain" atau "ada ulama kata boleh" atau "untuk tidak mengaibkan dan tidak memalukan perempuan itu maka boleh bersalaman" dan sebagainya dari puluhan alasan lagi yg hakikatnya tidak bertepatan dengan sunnah Rasulullah langsung. Amat malang mereka itu sering pula melaungkan Sunnah! Ittiba'us Sunnah dan pelbagai lagi men-declare diri sebagai pengikut Sunnah Nabi. Sedangkan Nabi tidak pernah bersalaman dengan wanita ajnabiyah bukan muhrim bahkan dalil sunnah menunjukkan ia haram.

APA DALILNYA?
Kita dalam membicarakan hukum bersalam ini antara lelaki yang sudah dewasa dengan wanita bukan muhrim yang sudah dewasa, dan tidak membicara hukum bersalaman dengan wanita tua sesangat atau budak perempuan yang masih kecil. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatuna Aisyah mengenai bai'ah yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap beberapa orang perempuan, Aisyah berkata: " Demi Allah, tangan baginda tidak menyentuh seorang perempuan pun dalam pembai'atan itu. Baginda hanya membai'ah mereka dengan perkataannya: "Benar-benar telah aku bai'ah kamu atas hal itu." (Riwayat Bukhari)Hadith di atas amat jelas menunjukkan bahawa Rasulullah tidak bersalaman dengan wanita bukan muhrim walaupun mereka menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Rasulullah, Rasulullah tidak menyambut mereka dengan bersalaman tetapi Rasulullah bersalam pula dengan lelaki iaitu para sahabat lelaki yang membai'ah baginda dengan cara bersalaman.Dari ini membuktikan sunnah Rasulullah sekiranya berlaku pada kita wanita yang bukan muhrim menghulur tangan untuk bersalaman dengan kita atau lelaki bukan muhrim menghulur tangan kepada wanita itu bersalaman maka sunnah dan terbaiknya adalah kita TIDAK menyambut dengan bersalaman tetapi dengan memberi isyarat lain atau mengucapkan salam atau selamat kepadanya sahaja tanpa bersalam.Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fathul Bari berkata: "Maksud ucapan Rasulullah: "Benar-benar telah bai'ah kamu dengan ucapan." Adalah ucapan tanpa berjabat tangan sepertimana yang biasa terjadi, di mana lelaki berjabat tangan sewaktu bai'ah dijalankan. Dari Abdullah bin Amr bin al-Ass. berkata: "Rasulullah tidak pernah berjabat tangan tangan dengan perempuan dalam pembai'atan." (Riwayat Imam Ahmad) Dalil kedua, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan. Ucapanku kepada seorang perempuan seperti kataku pada seratus perempuan.”(HR Ibnu Hibban, Malik & Nasa’i)Dari Ma’qil bin Yasaar katanya, “Rasulullah telah bersabda: “Sesungguhnya jika dicerca kepala salah seorang dari kamu dengan alat dari besi adalah masih lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahramnya).” (HR At-Thabrani & al-Baihaqi, sahih). 

Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah bersabda: “Sudah ditakdirkan bagi anak cucu Adam bagian dari zina yang pasti akan menimpanya. Kedua mata, zinanya ialah memandang; zina dua telinga ialah mendengar; zina lisan ialah ucapan; zina tangan ialah menyentuh; zina kaki ialah melangkah; zina hati ialah menginginkan sesuatu, berangan-angan dan farajnya membenarkan atau mendustakannya.”Rasulullah juga bersabda: “Tidak pernah aku menyentuh tangan perempuan (ajnabi/bukan mahram)” (HR At-Thabrani, dari Uqailah binti Ubaid). Dalil-dalil di atas amat menunjukkan pengharaman bersalam lelaki dengan wanita yang bukan muhrim.

ADA DALIL YANG MENGHARUSKAN?                                                                                                    
Mereka yang beria-ia sangat mempertahankan hukum bersalaman lelaki-wanita sering mengunakan hujjah yang mereka sendiri palsukan. Mereka mempergunakan beberapa hadith yang menyebut nabi memberi salam kepada sahabiyah. Amat malang hadith tersebut terang-terang menunjukkan nabi memberi salam dan BUKAN BERSALAMAN dengan wanita. 
Ya, dalam islam diharuskan kita memberi salam kepada muslimah dan DIHARAMKAN kita bersalaman dengan wanita. Hakikatnya tiada langsung dalil yang mengharuskan hukum bersalaman lelaki dengan wanita ajnabiyah yang bukan muhrim ini bahkan Rasulullah sebagai ikutan kita tidak pernah melakukannya. Amat sedih golongan pengaku sebagai pengikut Sunnah tidak menghidupkan sunnah Nabi, Nabi tidak bersalaman dengan wanita bukan muhrim. Amat sedih lagi mereka itu mengharamkan bersalaman antara lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita selepas solat berjemaah kononnya atas dasar bid'ah masuk neraka tetapi MENGHALALKAN pula persalaman antara wanita dengan lelaki dan lelaki dengan wanita. Ini membuktikan dakwaan mereka sebagai Salafi, Ittiba'us Sunnah dan lain2 lagi hakikatnya adalah tipu helah pengkhianat Sunnah sebenar!!!.

KALAU WANITA TU HULUR TANGAN DAHULU KITA BOLEH SAMBUT?
Jawapannya sudah pasti tidak boleh, haram hukumnya walaupun wanita ajnabiyah itu menghulurkan tangan untuk bersalam dengan kita dihadapan khalayak ramai sekali pun, haram bagi wanita itu dan haram bagi lelaki menyambut tangannya untuk bersalam, samaada tanpa bersyahwat atau tidak, terselamat dari fitnah atau tidak ianya adalah tetap HARAM. 

Nabi bersalaman (berjabat tangan) dengan perempuan yang bukan muhrim ke tidak?! Ketahuilah bahawa Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan.” (HR Ibnu Hibban, Malik & Nasa’i) Mana laungan sunnah kamu semua?! kamu sanggup bertasamuh dan bertolak ansur dalam isu persalaman wanita-lelaki dan perkara lain yang sejalan dengan hawa nafsu kamu tetapi pada masa yang sama kamu kafirkan orang buat maulid dan menetapkan mereka ahli bid'ah masuk neraka!Kamu marah orang berzikir nama Allah beramai-ramai pada masa yang sama kamu biarkan tarian bogel beramai-ramai dari kalangan 'anak'anak' kamu sendiri! Kamu marah orang baca qunut selalu waktu yang sama kamu sendiri mengkafirkan umat Islam selalu!Kamu marah orang bertalqin tetapi kamu menyokong industri muzik haram dan bank riba! Di mana amanah?! di mana laungan sunnah?!Wallahi! dakwaan kamu kononnya bersalaman lelaki dengan wanita ajnabiyah bukan muhrim ini harus merupakan kepalsuan yang tidak berdalil dan tidak berfakta! NASIHAT, Berikan dan sampaikan salam, jawab salam, bersalamanlah diantara yang halal bukan yang haram. Sesungguhnya bersalaman lelaki dengan perempuan itu adalah haram...pendapat yang kedua menyatakan harus sekiranya ada qarinah... ini pendapat daripada imam abu hanifah... contohnya... seseorang menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan kita, keadaan dia ingin pergi ke tempat yang jauh (bermusafir)... maka ia diharuskan bagi menjaga maruah si penghulur tangan tadi... akan tetapi ia tetap haram.. ini bersandarkan nas yang kuat dari quran... iaitu (au lamastumu nisaa') atau kamu menyentuh perempuan, ayat ini ikhtilaf diantara ulama' akan tetapi bagi saya bersentuh diantara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim adalah HARAM hukumnya.. wallahu a'lam bi sawab...

Saturday 22 October 2011

Mersing...

Sesekali melihat lanskap alam dalam dua warna - hitam putih - lebih memberi makna tentang sifat yang ada padanya
Pertama kali ke Mersing, pelbagai andaian datang menerjah diri. Di sinilah dulu khabarnya Tok' ki - bapa kesayangan emak merantau membelah ombak dari Pantai Pandak, Chendering mencari rezeki di perairan Tanjung Sedili hingga ke Pantai Mersing. Ditakdirkan beliau meninggal dunia -menghembuskan nafas akhir dalam perjalanan pulang dari Mersing ke Chendering. Al-Fatihah...


Dan kedatangan ke sini, membuatkan diri ini kembali mengenali tautan antara laut dan kehidupan... amat besar pengorbanan mereka yang terdahulu demi sesuap rezeki membesarkan zuriat melebarkan sayap keturunan. Termenung mengintai alunan bot dibuai air muara memang mengasyikkan...
Olekan bot dibuai arus muara menanti detik masa berkhidmat pada yang empunya - moh, kelaut kite!
Sang isteri lantas menyapa, "buat apa diambil gambar bot dengan ombak?" Sambil senyum sinis, jawapannya satu - "seni..." Ya, ia bukan sekadar untuk disimpan dalam "portable hard disk"... ia untuk dikongsi. Dikongsi bersama teman yang mahu sama-sama menatap wajah alam yang pastinya tidak pernah kering dari episod Ketuhanan. Yang akhirnya, apa yang dicari... kita dapat rasakan yang diri ini bertuhan. Dapat kita rasakan wujudnya DIA dan KekuasaanNya mengatur alam...
Kuala yang surut pada senja menampakkan sifatnya yang tenang dalam menanti terjahan arus payau-masin 
Si kakak tidak sabar merengek mahu ke pantai. Akhirnya Air Papan menjadi pilihan. Keasyikannya menambak pasir dengan harapan terbina "istana" mengulit rasa. Alangkah indahnya alam kanak-kanak, hanya tahu meminta dan berangan. Dalam terik mentari, aku tenggelam dalam keseronokan kakak bermain pantai. Semoga si kakak membesar dengan RahmatNya berbakti pada keluarga dan sentiasa bersyukur pada Pencipta lanskap yang indah ini.
Teruskan bermain anakku, kerana nun di Kajang tiada peluang kau ketemu pasir sebegini
Puas bermain, hempas kecil ombak pantai menjadi episod akhir. Ditemani atuknya yang setia memimpin mulus jari kecilnya, kakak menambah rasa girang dengan membasahkan diri - menggugurkan pasir dari batang tubuh kecilnya. Terima kasih atuk kerana "meringankan" tugasan sang abahnya melayan karenah si kecil - gantinya - nah, tembakan lensa mengena keduanya!
Dalam terik mentari, "menembak" bingkaian ini dirasakan amat mencabar pada yang baru bertatih seperti diri ini
 Petangnya, sekadar mengisi masa aku menyelusuri hujung bandar mengikut arus trafik. Akhirnya membawaku ke suatu sudut yang menarik minat untuk dihalakan hujung lensa merakam objek yang dimaksudkan. Menurut Pak Itam, inilah hotel ala resort yang sudah lama ditinggalkan akibat kebakaran. Tentunya banyak rahsia yang tersimpan di sini. Lihat sajalah, sekali pandang sudah cukup untuk kita membuat andaian. Apapun, jangan diingkari Yang Maha Esa. Tiada yang lain, hanya Dia Yang Maha Kuasa.
Hingga di sini Mersing... Jika digamit, aku pasti ke mari...

Friday 21 October 2011

Siapalah kita tanpa yang terdahulu?

Hari ini aku mula menulis... sudah lama niat ini terpendam dek kesibukan menguruskan kesibukan duniawi yang semakin mendesak. Alhamdulillah, dikesempatan yang ruangnya agak sempit ini dapat juga aku menerjah diri ke alam maya - menyertai teman mengungkap apa jua bingkisan rasa dari "lensadiri"...
Tidak lebih hanya sekadar bercerita dari asal mata lensa aku "bersuara" membenarkan seribu kata. Memulakan hobi bersama Nikon D90. Membawa aku ke alam yang tak terjangkau dek akal seperti yang sebelumnya... 

Alangkah indahnya ciptaan Allah...


Didalam Al-quran, Allah s.w.t telah berfirman bahawa orang yang mengingati Allah s.w.t dan memikirkan barang yang telah Allah s.w.t jadikan (makhluk), nescaya Alah s.w.t akan memberikan keyakinan kepada-Nya. Keyakinan bahawa Allah berkuasa mencipta, menghidup, mematikan dan mentadbir kita serta barang yang telah ada di muka bumi. Sebagai mana firman Allah s.w.t didalam Al-quran:
“Mereka yang mengingati Allah (berzikir) sambil berdiri dan duduk didalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata “Ya Allah tiadalah Engkau menciptakan bumi ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, peliharalah kami dari siksa api neraka” (Ali Imran: 191)
"Kami Akan Memperlihatkan Kepada Mereka Tanda-Tanda ( Kekuasaan ) Kami Di Segenap Penjuru Dan Pada Diri Mereka Sendiri, Sehingga Jelaslah Bagi Mereka Bahawa Al-Quran itu Adalah benar." (Fussilat: 53)
Kali pertama "Outing" Micro - hasilnya tidak seberapa, cukup sekadar untuk lebih  mengenali Maha Pencipta
"Tidakkah kamu tahu bahwasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di Bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masingnya telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan." (An Nur: 41)



Satu Wajah Seribu Rasa

Renungkanlah ke dalam matanya, sukar untuk diterjemaahkan semuanya. Lihatlah pada kedut wajahnya, yang menjadi peta pada kehidupan yang pernah ditelusuri.
"Buyut" dari Parit Pinang Seribu berusia 92 tahun... 
Semoga kita mendapat cukup kebahagian untuk membuat kita bahagia, cukup cubaan untuk membuat kita kuat, cukup penderitaan untuk membuat kita menjadi manusia yang sesungguhnya, dan cukup harapan untuk membuat kita positif terhadap kehidupan mendatang...

Thursday 20 October 2011

Siapalah kita tanpa mereka...

Siapalah kita tanpa mereka, tanpa penat jerih mereka, tanpa kasih dan sayang mereka, tanpa titik peluh mereka, tanpa titis air mata mereka, tanpa olahan jerit pekik celaru rasa yang mereka telan... kite pasti tiada di sini, kita pasti bukan begini, kita pasti tak mampu berdiri, kita pasti sukar untuk mengerti... apa itu hidup yang penuh onak dan duri... 
Selamanya tetap disanubari - Mak dan Chik datang dari jauh menyambut kedatangan insan kecil, Ahmad Zariff 
Teman, selagi mereka masih di sisi, di sini, di dunia ini... sayangilah mereka...